Stormreaders: Multi Level Marketing (MLM) Patuh Syariah

Penilaian Hukum Syariah Bagi Pelan Pemasaran Stormreaders Network Sdn Bhd

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam.  Selawat dan salam buat junjungan mulia pesuruh Allah, Nabi Muhammad s.a.w, para sahabatnya dan setiap mereka yang menuruti jalan lurus panduannya.

Setelah dilakukan semakan dan perbincangan berkenaan plan perniagaan yang diberikan, sekadar kemampuan kami, berikut disertakan hasil semakan ke atas pelan pemasaran Stormreaders Network Sdn Bhd:-

1. Apakah barang yang menjadi teras bisnes dan jualan?

Jawabnya ia adalah kumpulan buku-buku agama dan media terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Justeru tiada keraguan pada “subject matter” dalam skim Stormreaders Network Sdn Bhd.

2. Menjadi Ahli

Keahlian Stormreaders Network boleh dimiliki dengan membayar yuran pendaftaran sebanyak RM90 untuk:

  • Kit Permulaan Perniagaan = RM30
  • Kad keahlian Stormreaders = RM30 (tahunan)
    • Insuran Takaful RM20,000
    • Khairat Kematian RM3,000
  • Kemudahan e-Store & Sistem e-Net = RM30 (tahunan)

Maka: setelah semakan, beberapa aqad telah digunakan iaitu:

1. Wakalah Muqayyadah: Iaitu pihak peserta mewakilkan sebahagian wangnya untuk menyertai skim takaful dan juga skim khairat kematian.

2. Ijarah (Sewa): e-Store & Sistem e-Net adalah sebuah kedai maya dan sistem maklumat pengurusan rangkaian yang disewakan kepada peserta dengan nilai tertentu pada setiap tahun. Dikenakan pada nilai RM30 setiap tahun. Ahli bebas sama ada untuk meneruskan sewaan atau tidak (memperbaharui keahliannya).

3. Bai al-Mutlaq: Iaitu jual beli biasa, apabila pihak peserta membeli Kit Permulaan Perniagaan.

Justeru, sepanjang semakan saya, tiada unsur pinjaman duit, atau serahan duit tanpa timbal balas aset. Semua wang yang diserahkan dalam yuran awal mempunyai aqad tersendiri di dalam Islam dan semua aqad tersebut adalah harus dan halal.

Menggabungkan pelbagai aqad tersebut dalam satu borang juga diizinkan kerana semua aqad berdiri dengan sendirinya (Mustaqil) tanpa bertentangan di antara satu sama lain. Dalam kata lain ia bukan“Uqud Mutanaqidhah Wa Mutanafiah” yang tidak boleh digabung jalinkan.

Di peringkat ini, ahli boleh menjana pendapatan dari:

2.1. 20% Komisyen Jualan e-store peribadi

SyariahWakalah Bil Ujr (wakil dengan upah): Oleh kerana barangan di dalam e-store adalah bukan milik ahli, tetapi milik syarikat yang diniagakan oleh ahli di dalam ‘online store’nya. Ini bermakna hubungan di antara ahli dan syarikat dalam konteks ini adalah ‘WAKALAH BIL UJR’ Aqad ini juga termeterai iaitu apabila setiap penjualan yang dibuat melalui e-store peserta, pihak syarikat akan memberikan komisyen sebanyak 20% dari semua harga terkumpul jualan. Ia juga halal dan harus serta menepati syarat-syarat dalam aqad Wakalah Bil Ujr iaitu wakil maklum akan jumlah komisyen yang ditawarkan syarikat.

2.2. 5% Bonus Jualan e-Store Global (GOSV) – Perkongsian daripada 5% jumlah jualan seluruh e-Store yang terdapat di dalam rangkaian e-Store Stormreaders Network dengan jumlah perkongsiannya mengikut tahap pencapaian jualan e-Store peribadi.

Syariah: Pendapatan ini halal, ia didasari oleh aqad Hibah, iaitu hadiah dari sebelah pihak iaitu syarikat sebagai insentif galakan bagi ahli mereka.

3. Menjadi Pengedar

Ahli boleh maju kepada peringkat ‘Pengedar’ dengan membuat pembelian peribadi terkumpul yang bernilai 100 mata (RM300).

Syariah: Tiada masalah dari sudut hukum kerana penganugerahan ini datang dari pihak syarikat sejurus ahli mencapai tahap yang ditentukan. Oleh kerana gelaran ini datang dengan sedikit kelebihan tambahan, ia didasari oleh aqad Hibah. Pembelian peribadi yang disyaratkan juga tiada bermasalah kerana ia adalah pembelian aset sebenar (iaitu produk buku dan lain-lain), dan pembelian peribadi ini tidak diikat dengan sebarang syarat lain yang bertentangan dengan sifat aqad jual beli (Muqtada al-Aqd)

3.1. 5% Komisyen jualan peribadi di dalam rangkaian (direct sponsor)

Syariah: Didasari oleh aqad Hibah dari satu pihak, tiada sebarang masalah dari perspektif Syariah.

3.2. 10% Bonus ‘overriding’ e-Store tajaan peribadi (dengan syarat jualan minima e-Store peribadi mencapai RM500 setiap bulan).

Syariah: Aqad digunakan adalah Hibah Bi Syarti Iwad. Iaitu hadiah dengan syarat pencapaian satu kerja sebagai timbal.

Janji Hibahnya berlaku adalah apabila pihak syarikat menjanjikan hadiah bernilai 10 % dari harga jualan e-Store peserta yang berada di dalam kumpulannya, syarat pencapaian sebagai timbalan adalah pihak syarikat mengenakan syarat RM500 jualan sendiri pada bulan tersebut. Aqad ini juga boleh ditakyif sebagai jualah iaitu :-

Syarikat menawarkan 10% dari nilai jualan kumpulan di bawah seseorang peserta apabila peserta dan kumpulan di bawah berjaya mencapai satu target jualan. Aqad seperti ini juga harus di sisi Islam.

3.3. 5% Bonus ‘overriding’ jualan kumpulan rangkaian sehingga jumlah maksima RM4500 seminggu atau 25% daripada jumlah jualan harian kumpulan (dengan syarat membina sekurang-kurangnya 3 kumpulan dengan 100 mata setiap kumpulan).

Syariah: 5% ini dianugerahkan oleh pihak syarikat dengan target pencapaian jualan dan pembinaan kumpulan. Justeru ia sekali lagi dibina atas aqad Jualah.

3.4. 3% Bonus jualan rangkaian global GNRSV – Perkongsian daripada 3% jumlah jualan rangkaian global dengan jumlah perkongsian bergantung kepada tahap pencapaian.

Syariah: 3% ini dianugerahkan oleh syarikat sebagai tambahan pendapatan ahli. Ia di dasari oleh Hibah.

4. Menjadi Pemimpin

Pengedar dan juga ahli-ahli di dalam kumpulannya perlulah membuat JUALAN PERIBADI bulanan minima 20 mata (RM60) masing-masing untuk terus menikmati komisyen dan bonus rangkaian.

Syariah: Terma ini juga harus di sisi Syariah dan ia didasari oleh aqad Ju’alah sama seperti sebelum ini. Yang mana, jualan peribadi dan ahli dijadikan sebagai prestasi atau target yang perlu dicapai bagi membolehkan pengedar dan ahli dalam kumpulan unutk menikmati komisyen dan bonus rangkaian. Dalam konteks ini, komisyen dan bonus rangkaian menjadi imbuhanJu’alah.

Hasil prestasi jualan bulanan ini juga akan memberikan bonus tambahan kepada pengedar dan kumpulan rangkaian seperti berikut:

4.1. 5% Bonus kesetiaan kumpulan sehingga kepada tahap maksima mengikut tahap pencapaian atau pangkat.

Syariah: Ia terbina dari aqad Hibah oleh pihak syarikat kepada ahli yang dirasakan layak dan menepati kriteria tertentu.

4.2. 5% Bonus kesetiaan kumpulan global (GNMSV) – Perkongsian 5% daripada jumlah jualan bulanan dengan jumlah perkongsian mengikut tahap pencapaian atau pangkat).

Syariah: Ia terbina dari aqad janji HIBAH yang ditawarkan oleh pihak syarikat. Tiada masalah syariah dalam perkara ini.

4.3. Tabung Umrah & Pelancongan (Simpanan dari Perkongsian 2% daripada jumlah jualan bulanan dengan jumlah perkongsian mengikut tahap pencapaian atau pangkat).

Syariah: Ia juga adalah dari jenis Hibah Mutlaqah oleh pihak syarikat.

Penyemakan dari semasa ke semasa juga akan kami jalankan demi memastikan perjalanan bisnes ini menepati hukum Islam.

Demikian ringkasan kajian kami dan pihak kami sentiasa mengalukan komentar membina dari pelbagai pihak lain sekiranya didapati ada perkara penting yang terlepas dari semakan dan pemerhatian kami.

Kami juga dengan ini tidak bertanggungjawab sekiranya terdapat sebarang pindaan ke atas plan atau salahlaku mana-mana individu dari syarikat atau ahli dalam menjalan aplikasi plan dan bisnes ini, atau apa jua perubahan yang dilakukan di luar pengetahuan kami.

Wallahu’alam. Sekian.

Zaharuddin Abd Rahman & Zahazan Mohamed

Penasihat Syariah
Stormreaders Network Sdn Bhd
13 Ramadhan 1430H

Kad Kredit Islam…Satu Pengenalan (Siri 1)

Kad Kredit Islam telah diiktiraf sebagai produk Shariah oleh Majlis  Penasihat Shariah di Bank Negara Malaysia (BNM). Ia telah diluluskan oleh BNM di bawah Garis Panduan Kad Kredit Islam pada 1 Ogos 2004.

Umumnya, model yang digunakan dalam Kad Kredit Islam di seluruh dunia berasaskan bay’ al-inah, tawarruq, hiwalah, murabahah, ijarah dan kafalah atau wakalah. Di Malaysia Kad Kredit Islam ini dilaksanakan dengan menggunakan kontrak bay’ al-inah, tawarruq .

Model bay’ al-inah telah diperkenalkan oleh empat institusi kewangan Islam iaitu Am Bank “Kad Kredit Al-Taslif” yang telah dilancarkan pada Disember 2001, “Kad Bank Islam” oleh Bank Islam Malaysia Berhad yang telah dilancarkan pada Julai 2002, “Kad Al-Aiman” oleh Bank Simpanan Nasional yang telah dilancarkan secara rasmi pada Disember 2006 dan “Kad Ikhwan” oleh Maybank Islam yang telah dilancarkan pada tahun 2008.

Model Tawarruq pula telah diperkenalkan oleh Bank Rakyat dan diikuti oleh Bank Islam Malaysia berhad (BIMB) pada penghujung tahun 2008. Baru- baru ini, model Ujrah telah diperkenalkan oleh HSBC Amanah dan EON CAP Islamic Bank Berhad.

Pada 29 Jun 2007, Bank Negara telah melaporkan bahawa sehingga Mei 2007, jumlah keseluruhan kewangan yang diberikan oleh Institusi perbankan Islam melalui produk kad kredit Islam mencapai RM577 million. Dan ini telah menunjukkan bahawa kad kredit Islam telah memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan dan kejayaan perbankan Islam di Malaysia.

Melalui produk ini, orang Islam serta bukan Islam mampu untuk memiliki kewangan peribadi dan boleh membuat pembayaran pada barang- barang yang berjenama tinggi, barang- barang luar negara dan barang- barang melalui internet tanpa terlibat dengan pinjaman berunsur ‘riba’ (lebihan) yang dilarang oleh Islam. Pada masa yang sama, kad kredit Islam juga menyediakan kemudahan keselamatan tambahan melalui Insuran berasaskan Islam (Takaful).

Walaubagaimanapun, sejak kad kredit Islam diguna pakai dalam institusi kewangan di Malaysia, banyak kritikan telah dilontarkan pada cara penggunaannya yang berasaskan ‘Shariah’. Ia telah dikatakan bahawa struktur dan operasi yang digunakan ini adalah tidak berlandaskan Islam dan menggunakan ‘helah’ untuk menghalalkan keuntungan atau faedah.

bersambung…

*dipetik dari thesis M.A Rafidah Binti Mohd Azli.

Bank Islam = Bank Konvensional?

Soalan: Adakah Bank islam sama seperti bank konvensional?
Jawapan: Tidak sama sekali…bezanya tidak dapat dihitung akal fikiran manusia…ianya umpama langit dan bumi, syurga dan neraka…

Soalan: Apa perbezaan yang paling jelas di antara keduanya?
Jawapan: Mudah sekali…konvensional tidak memikirkan soal halal dan haram…sedangkan bank islam mengelakkan aktivitinya terlibat dalam unsur-unsur yang dilarang Islam iaitu riba’, judi, gharar, penipuan dan lain-lain perkara-perkara larangan dalam Islam…

Soalan: Bagaimana contoh riba’ yang berlaku di dalam bank konvensional?
Jawapan: Riba’ berlaku bilamana bank konvensional memberikan pinjaman kepada pelanggan dan mengenakan caj lebihan ke atas jumlah pokok. Ianya disebut sebagai riba’ al-qard…

Soalan: Tidakkah perkara yang sama berlaku di dalam bank islam?bank islam turut memberi pinjaman kepada pelanggan…
Jawapan: Secara mata kasarnya memang kita nampak seolah-olah sama, tetapi sebenarnya sangat berlainan…bank islam adalah berasaskan kepada aktiviti perniagaan seperti jual dan beli, sewa, pelaburan, perkongsian dll. Yang lebih penting dari sudut syara’ adalah kesemua kontrak yang digunakan perlu memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang digariskan Islam…tidak salah bank konvensional menggunakan kontrak pinjaman, tetapi ianya perlu memenuhi syarat-syaratnya…iaitu ‘kullu qard jarra naf’an fahuwa ar-riba’,setiap pinjaman yang mempunyai manfaat padanya maka ia adalah riba’…pengambilan keuntungan dibenarkan dalam aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh bank islam kerana ianya mengandungi risiko yang perlu ditanggung…sedangkan duit secara asasnya tidak boleh berkembang sendiri tanpa melalui proses-proses yang sepatutnya…

Bersambung…

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.